Rabu, Julai 15, 2009

PEMENANG HADIAH SASTERA DARUL TA'ZIM VII 2009
KATEGORI NOVEL REMAJA

Apa Kata Panel Hakim?

Kekuatan novel ini terletak pada muatan nilai agama. Syahir tampil sebagai role model ahli sukan remaja yang mempertahankan syariat dalam sukan meskipun dia menghadapi pandangan skeptikal daripada orang di sekelilingnya. Nilai yang dibawa oleh novel ini berupaya mengubah paradigma remaja agar lebih komited terhadap agama walaupun mereka aktif dalam sukan. Sebagai sebuah teks yang kaya dengan maklumat, novel ini memberikan manfaat yang besar kepada khalayak pembaca.

Dari segi teknik penyampaian, novel ini sesuai dengan khalayak sasarannya, yakni remaja awal kerana tidak dibina dalam struktur yang kompleks sama ada dari segi perwatakan, gaya bahasa dan aspek lainnya. Begitupun binaan naratifnya tidaklah pula terlalu simple; masih wujud teknik yang kompleks terutama dari segi plot tetapi tetap komunikatif untuk khalayak sasarannya. Kompleksitinya plotnya memadai ditandai dengan teknik imbas kembali dan unsur ketegangan yang disisipkan secara berseni.

Kelebihannya yang lain terletak pada kekemasan binaan naratif; watak, konflik dan pengucapan bahasa yang ditampilkan secara selektif dan disusun dalam struktur yang rapi. Tiada unsur pembaziran dari segi pengemukaan watak; setiap watak mempunyai peranan yang melengkapkan alur cerita. Konfliknya juga berfungsi untuk memperkukuh penyampaian pemikiran dan pembentukan tema keseluruhan. Dengan kelebihan dari segi muatan dan seni penukangan naratif, novel ini mempunyai merit untuk diiktiraf sebagai bacaan yang bermutu untuk khalayak sasarannya, iaitu remaja awal.

-Laporan Panel Hakim HSKU 2006

Selasa, Julai 14, 2009

JUSTERU ...

Membaca Justeru Impian di Jaring'(JIDJ) membawa saya bernostalgia ke zaman sekolah rendah bermain badminton bersama jiran sebaya, Shamsul. Sewaktu tiba musim badminton, ada sahaja masa senggang, kami akan bermain badminton di lorong siap dengan jaring. Bermain-main bersungguh-sungguh dengan lagak jagoan era 90-an Joko Suprianto, Rashid Sidek, atau Patrik Hoyer Larsen. Orang putih kata, 'Boys eye full of dream'. Kadang-kadang sampai bergaduh.

Walaubagaimanapun JIDJ bukan kisah tentang impian budak kecil tetapi impian murni cetusan iman. Impian yang ingin meletakkan nama bangsa, agama dan negara pada suatu tempat yang tinggi
martabatnya. Syahir adalah pemain badminton yang berperibadi terpuji dan teguh mempertahankan prinsip dan syariat agama. Pemakaiannya yang memakai 'tight' menutup aurat mengundang segala macam reaksi. Pada hakikatnya menutup aurat sememang dan sepatutnya tidak menjadi batu penghalang untuk bersukan dan menjadi jagoan dunia.Lihat sahaja ratu pecut Bahrain, Ruqaya Al Ghasara yang meskipun bertudung tetap tidak menghalangnya meraih juara dalam acara lari 200m di Sukan Asia di Doha lalu.

Baca lanjut.


Memo: Terima kasih, Dayat, yang telah sudi 'mereviu' novel remaja awal saya ini.

Ahad, Julai 12, 2009

JANGAN TAK BELI BUKU INI!

Bahasa yang bertenaga ditampilkan menerusi diksi yang segar. Jati diri Nisah Haron sebagai pengarang jelas terserlah dalam karya mutakhirnya ini. Sesudah Tawarikh Cinta, inilah spin-off novel Mencari Locus Standi yang wajib anda miliki!

- Zaid Akhtar


Memo:
Terima kasih, Puan Nisah yang sudi mengirimkan saya senaskhah novel ini. Kata orang, kegembiraan yang tidak terucap tatkala menyambut kelahiran novel baharu kadangkala seperti menyambut kehadiran cahaya mata baharu juga. Selamat bergelar warga PTS!

Khamis, Julai 09, 2009

AYUH MENGUNDI di BLOG TUN!

Pergilah ke blog rasmi Tun dan mengundi. Tolonglah puaskan hatinya. Tun dah tua, hormatilah permintaan orang tua.

OK.
Jika anda bersetuju dengan PPSMI klik "Yes".
Jika anda benci, menyampah dan meluat "gila" dengan PPSMI klik "No".

Memo: Oh ya, kenapa tidak dimansuhkan terus? Mengapa masih harus menunggu hingga 2012 (selepas PRU nanti)? Usahlah berteka-teki jika benar ikhlas dan telus.
terima kasih
(sempena pemansuhan PPSMI)

terima kasih ahli politik
yang masih bertelinga dua
dan faham bahasa.

terima kasih pejuang bahasa
yang turun ke jalan raya
bermati-matian mendaulatkan bahasa.

terima kasih semua
yang masih ada cinta terhadap bahasa.

Selasa, Julai 07, 2009



Memo: Bicara Novel Islami Bersama Dato' Dr. A. Samad Said, Zaid Akhtar dan Salina Ibrahim

Sabtu, Julai 04, 2009

SIAPA PENULIS PILIHAN ANDA?

oleh Salbiah Ani (BH 3/7/2009).

BAGI memungkinkan pembaca Dunia Buku, Sastera membuat pemilihan pengarang pilihan mereka muncul sebagai pemenang Anugerah Pilihan Pembaca Popular - Berita Harian 2009, diperturunkan beberapa maklumat mengenai mereka.

Dr Danial Zainal Abidin yang dicalonkan dalam Kategori Bukan Fiksyen menerusi bukunya, Minda Muslim Super adalah Pengarah Urusan Danial Zainal Consultancy Malaysia Sdn Bhd dan juga Pengurus dan Pengamal Perubatan di Klinik Syifa Glugor, Pulau Pinang.

Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad, pemegang Ijazah Kejuruteraan Sumber Mineral daripada Universiti Sains Malaysia dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Kejuruteraan Perlombongan dari Queensland, Australia, pengasas kursus Motivasi Alihan Pelajar, mempertaruhkan Teknik Memotivasikan Anak Cara Positif.

Dr HM Tuah Iskandar yang sudah menghasilkan lebih 50 buku dalam pelbagai bidang, sudah menerima 28 anugerah dalam bidang penulisan termasuk kreatif, dicalonkan menerusi dua bukunya, Fikir-fikirlah dan Membina Cinta Sayang.

Datuk Dr Mohd Fadhilah Kamsah adalah Pengarah Urusan Excel Training & Consultancy (M) Sdn Bhd menerima ijazah PhDnya dari Universiti Wisconsin, Amerika Syarikat, menerima pencalonan menerusi bukunya, Langkah Bijak Usahawan Terbilang.

Muhd Kamil Ibrahim adalah profesor perakaunan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), sudah menulis beberapa buku termasuk karya laris di pasaran dan lebih 400 rencananya diterbitkan dalam pelbagai media massa, ‘memperjudikan’ Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman.

Muhsin Labib yang dilahirkan di Jember, Jawa, menerima ijazah sarjana mudanya di Iran dan PhD dari di Universiti Islam Negeri Hidayatullah, banyak menghasilkan buku agama dan dicalonkan menerusi bukunya, Ahmadinejad: Singa Baru Dunia Islam.

Datuk Siti Nor Bahyah Mahmood adalah lulusan Pengajian Islam dan Bahasa Arab, Universiti al-Azhar, Mesir, sudah melahirkan lebih 40 album ceramah agama, motivasi dan petua dalam bentuk CD, VCD dan kaset, menguji peluangnya lewat Hadiah Untuk Muslimah.

Azahar Abdul Rahman, penulis berpengalaman luas dalam bidang keusahawanan internet dan sistem perakaunan adalah akauntan bertauliah Thames Valley University, London, dicalonkan menerusi bukunya, Rahsia Buat Duit dengan Ebay.

Ramlee Awang Murshid yang dicalonkan dalam Kategori Fiksyen adalah wartawan penyiaran di RTM Angkasapuri, menerima empat anugerah penulisan kreatif peringkat kebangsaan, dicalonkan menerusi Hijab Sang Pencipta.

Aleya Anessa, Penolong Pegawai Perancang Bahasa, Jabatan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, sudah menulis Semusim Rindu, Kasih Antara Kita, Janjiku Bersamamu, Hanya Dia Tahu dan novelnya, Segalanya Untukmu, memasukkan namanya dalam senarai Kategori Fiksyen.

Anis Ayuni, lulusan Sarjana Perancangan dan Pentadbiran Pendidikan dari Universiti Malaya dan berkhidmat sebagai Penyelia Petang SMK Seri Saujana, Bandar Baru Petaling, Kuala Lumpur muncul sebagai penerima anugerah tahun lalu, dicalonkan kali ini lewat Seribu Kali Sayang.

Damya Hanna yang baru saja menamatkan pengajian perakaunan di UKM adalah penulis Bicara Hati, Sepi Tanpa Cinta, Saat Cinta Bersemi, Ilham Hati, Senafas Rindu dan novelnya, Ternyata Cinta, melayakkannya termasuk dalam senarai Kategori Fiksyen.

Norhayati Berahim yang mempunyai penerbitan sendiri dicalonkan menerusi novelnya, Kembalikan Cintaku juga penulis Andai Semalam Ku Miliki, Biarkan Aku Menangis, Bunga Kasih, Chinta Cinta dan Tidak Aku Bersuara.

Aisyah Sofea yang dicalonkan menerusi Selagi Ada Dia adalah juga penulis novel Adam & Hawa, Buatmu Kekasih, Far Away, Gelora Jiwa, Jauh, Jendela Hati, Kau Untukku dan Sehangat Asmara.

Zaid Akhtar peserta Program Penataran Sastera Mastera (genre novel) di Bogor, Indonesia pada 2006 dan penulis Sesegar Nailofar (2001), Rona Bosphorus (2003) dan Justeru Impian di Jaring (2007) dicalonkan menerusi novelnya, Salju Sakinah.

Mimie Afinie yang bermula dengan Bisikan Rindu pada 2004, menggarap Masih Ada Rindu, Maafkanku … Sayang, Tinggallah Pujaan, dicalonkan menerusi novelnya, Kalau Ada Jodoh.

Siti Rosmizah, peguam yang menerima ijazahnya dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) boleh berbangga dengan novel sulungnya, Andai Itu Takdirnya yang sudah tujuh kali dicetak ulang dan melayakkannya untuk disenaraikan dalam Kategori Fiksyen anugerah ini.

Fauziah Ashari yang bermula dengan novel sulungnya, Pergilah Sepi dan Ombak Rindu yang mencatat kejayaan cemerlang sehingga mendorongnya tampil sebagai usahawan dalam bidang penerbitan, dicalonkan menerusi Rindu Cintaku.

Borang asal penyertaan yang akan diterbitkan lagi pada 10 Julai ini dan alamatkan penyertaan kepada Anugerah Pilihan Pembaca Popular - Berita Harian 2009, Marketing Department, Popular Book Co (M) Sdn Bhd, No: 8, Jalan 7/118B, Desa Tun Razak, 5600, Kuala Lumpur.

Khamis, Julai 02, 2009

SS dan Senaskhah Tesis

Sore tadi saya menerima senaskhah tesis atau projek ilmiah semester akhir seorang bakal graduan UKM. Terpinga-pinga saya pada awalnya tatkala menerima buku kulit tebal yang berbungkus cantik itu. Rupanya novel SS telah menjadi subjek kajiannya bagi memperoleh Ijazah Sarjanamuda Pengajian Islam (Dakwah dan Kepimpinan).

Saya sendiri teruja. Tidak menyangka pertolongan saya yang sedikit menerusi e-mel dahulu dibalas dengan sebuah tesis yang sempurna. Sebenarnya saya sendiri sudah lupa kerana beberapa e-mel daripada beberapa pelajar lain juga bertanyakan soalan-soalan seputar novel-novel saya. Banyak yang bertanya itu ini begitu begini hingga saya lupa yang mana satu.

Saya sendiri terpinga. Tidak menduga novel bersiri di ruangan agama Utusan Malaysia yang saya tulis dengan penuh siksa sepanjang tahun 2005 mendapat perhatian yang tidak sedikit oleh pembaca dan sarjana. Saya kira SS bukanlah karya terbaik saya setakat ini. Saya secara peribadi, lebih menyenangi Rona Bosphorus yang jauh menjelajah ke Istanbul dan mendepani pengaruh Yahudi. Namun pakej yang diberikan kepada SS ternyata istimewa lantas saya reda dengan tuah dan pemberian-Nya.

Saya membelek-belek naskhah tesis berkulit hijau tua yang bertaip kemas. Setebal 74 halaman.
Siapa sangka, selepas lima belas bulan Salju Sakinah berada di pasaran, kini sudah ada kajian yang ditulis tentangnya. Saya kira judulnya juga menarik: Mesej Dakwah dalam Novel Ayat-ayat Cinta dan Novel Salju Sakinah.

Memo: Terima kasih kepada Liza Dadie. Tahniah dan selamat berkonvo!

Jumaat, Jun 19, 2009

Anugerah Pilihan Pembaca Popular - Berita Harian 2009:
Salju Sakinah
dalam Senarai Finalis

Fiksyen:
Aisya Sofea - Selagi Ada Dia
Anis Ayuni - Seribu Kali Sayang
Fauziah Ashari - Rindu Cintaku
Damya Hanna - Ternyata Cinta
Ramlee Awang Murshid - Hijab Sang Pencinta
Siti Rosmizah - Andai Itu Takdirnya
Norhayati Berahim - Kembalikan Cintaku
Aleya Aneesa - Segalanya Untukmu
Mimie Affnie - Kalau ada Jodoh
Zaid Akhtar - Salju Sakinah

Non-fiksyen:

Dr. H.M. Tuah Iskandar - Fikir-Fikirkan
Sheihk Mustapha - Menggapai Bintang
Prof. Dr. Muhd. Kamil Ibrahim - Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman
Dr. Tengku Asmadi - Teknik Memotivasi Anak Cara Positif

Dato Ustazah Nor Bahyah Mahmood - Hadiah untuk Muslimah
Dr. H.M. Tuah Iskandar - Membina Cinta Sayang
Dr. Danial Zainal Abidin - Minda Muslim Super
Dato Dr. Mohd. Fadhilah Kasmah - Langkah Bijak Usahawan Terbilang
Azahar Abdul Rahman - Rahsia Buat Duit Dengan Ebay

Cara undian adalah:

1. Undian melalui borang dalam akhbar Berita Harian mulai 19 Jun 2009
2. Borang Undian yang diberi di semua rangkaian gedung buku Popular seluruh Malaysia.

Sumber: Blog PTS

Memo: Buku yang bertanda garis di bawahnya adalah terbitan PTS.

Ahad, Jun 14, 2009

PENGARANG Maza Ya'ni Intima'i Lil Islam WAFAT

The Islamic Action Front announced Saturday the death of its leader Fathi Yakan. He was 76 years old. In a statement, the IAF said Yakan passed away at 4:45pm in Hotel Dieu Hospital, where he was admitted on Friday night.

Yakan's body will be moved to Tripoli on Sunday morning. The time and place of the funeral will be announced at a later time, the statement added. The IAF earlier denied media reports of Yakan's death but said he was in critical condition.

Yakan was born in the northern port city of Tripoli in 1933. He became involved in Islamic work in Lebanon in the mid 1950s and was a pioneer in the establishment of the Islamic Movement. Yakan was elected a member of parliament in 1992.

Sumber: Naharnet.com

Memo: Inna lillah. Tayyaba Allahu Tsaraahu. Almarhum pergi dengan jasa dan pengorbanan yang tidak mampu kita bayar. Setiap yang pernah berusrah pasti pernah mendengar namanya. Bukunya yang berjudul Apa Ertinya Saya Menganut Islam kekal menjadi silibus bacaan yang wajib dihadam oleh mereka yang mahu mendaulatkan Islam di seluruh dunia.

Rabu, Jun 10, 2009

SPM: WAJIB LULUS BeeAii PULAK DAH ...

Astaghfirullah.
Isu PPSMI masih belum selesai. Masih dalam kajian khabarnya, walhal berpuluh-puluh kajian sudah dijalankan sejak 2003 berkenaan PPSMI oleh pakar-pakar yang berautoriti. Persidangan meja bulat juga sudah diadakan. Demonstrasi jalanan juga sudah dilancarkan. Tetapi apalah sangat nilai kajian itu; apalah sangat resolusi meja bulat, tiga segi atau empat segi sekalipun pada manusia yang berlidah dua dan gegendang telinganya tersumbat. Kini, datang pula cadangan (macam dah nak dilaksana saja?) mahu meletakkan syarat WAJIB LULUS Bahasa Inggeris dalam peperiksaan SPM.

Entahlah.
Apalah malangnya kita. Lepas satu, satu yang datang. Ibarat keluar dari mulut rimau, masuk pula ke mulut buaya. Lari dari Ya'juj & Ma'juj, bertemu pula Dajjal Malaun. Memang di akhir zaman benar kita ini. Yang baik dikata buruk, yang haram dikata halal, yang dah molek ada, kita tukar bagi makin teruk. Inilah natijah memberi amanah kepada yang bukan ahli. Kita beri nasi, tapai basi pula yang dikembalikan.

Kita tidak anti-BI, tidak menafikan kepentingan menguasai BI pada zaman global ini, tetapi mewajibkan pelajar untuk lulus adalah satu penganiayaan. Satu kezaliman.

Menurut Bernama, orang ramai yang ingin mengemukakan cadangan dan pandangan berhubung isu Bahasa Inggeris syarat wajib untuk lulus peperiksaan SPM boleh berbuat demikian melalui saluran telefon dan emel kepada Kementerian Pelajaran. Ia boleh disalurkan ke talian khidmat pelanggan kementerian itu di 03-7723 7070 atau emel di kpkpm@moe.gov.my.

Baca lanjut tentang berita malang ini di akhbar BI dan akhbar BM (yang malu-malu mahu menyiarkannya).

Memo: Lebih bimbangkan nasib pelajar luar bandar. Nasib pelajar kelas lembam@hujung yang subjek bahasa Melayu pun susah hendak lulus, tak usah cerita. Ma'assalaamah!

Rabu, Jun 03, 2009

PUNCA SEBENAR STADIUM RUNTUH?

Punca sebenar keruntuhan sebuah stadium negeri yang baru digunakan lebih kurang setahun yang lalu masih lagi menjadi tanda tanya. Masih dalam siasatan.

Banyak sekali dakwaan daripada pelbagai pihak. Malah ada yang mengaitkannya dengan angkara raksasa, makhluk asing, malah Ayah Pin (yang 'tersalah landing' ketika mendarat sewaktu kembali dari Kerajaan Langit)!

Yang penting ini bukan kesilapan manusia. Tiada yang bersalah dalam hal ini. Tiada yang perlu mengada-ngada terhegeh-hegeh mahu meletak jawatan kononnya bertanggungjawab dengan tragedi ini. Ingat ya, tiada kena-mengena dengan sesiapa!

Jadi, tunggu saja di hadapan televisyen dan dengar apa kata para penyampainya nanti.